label

Khamis, 14 Disember 2017

(Info) Penjawat awam boleh mohon cuti tanpa rekod untuk umrah

Penjawat awam bertaraf tetap dibenarkan memohon cuti tanpa rekod untuk menunaikan umrah maksimum selama tujuh hari iaitu sekali dalam tempoh perkhidmatan, berkuat kuasa 1 Jan depan.

Menurut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2017 Kemudahan Cuti Umrah yang dimuat naik di laman sesawang Jabatan Perkhidmatan Awam bertarikh 11 Dis, perkiraan tujuh hari itu bermula dari tarikh penerbangan sebenar menunaikan ibadah umrah di tanah suci Makkah dan ziarah di Madinah.

Cuti umrah itu tidak termasuk hari rehat mingguan, hari kelepasan mingguan dan hari kelepasan am.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2018 pada 27 Okt lepas mengumumkan bahawa kerajaan buat julung kali bersetuju memberikan kemudahan tujuh hari cuti tanpa rekod sepanjang tempoh perkhidmatan bagi menunaikan umrah.

Menurut pekeliling itu, pegawai yang memerlukan cuti melebihi had maksimum tujuh hari itu, perlu memohon untuk menggunakan kemudahan Cuti Rehat, Cuti Rehat Khas atau Cuti Tanpa Gaji atas urusan persendirian, tertakluk pada kelayakan cuti mereka. – Bernama-


Alhamdulillah.
Sumber: @malaysia1news

Tiada ulasan:

Catat Ulasan