label

Ahad, 3 September 2017

(BM) Penggunaan kata nafi bukan dan tidak

Info bahasa

Penggunaan Kata Nafi "Bukan" dan "Tidak"
(a)Secara umum terdapat dua perkataan kata nafi dalam Bahasa Melayu iaitu "bukan" dan "tidak"
(b) Kata nafi "bukan" digunakan dalam binaan Frasa Nama dan Frasa Sendi Nama.
Ayat Contoh:
1. Bangunan itu bukan pejabat kerajaan. (Frasa nama)
2. Orang tua itu bukan bapa saya. (Frasa nama)
3. Hadiah itu bukan untuk kami. (Frasa sendi nama)
4. Dia bukan orang kampung kami. (Frasa nama)
Kata nafi "tidak" pula digunakan dalam binaan Frasa Kerja dan Frasa Adjektif.

Ayat Contoh:
1. Bapa saya tidak tidur semalaman kerana menunggu kepulangan kakak. (Frasa kerja)
2. Kami tidak menjemputnya hadir dalam majlis itu. (Frasa kerja)
3. Pemergiannya ke kota tidak direstui oleh ibunya yang sudah tua. (Frasa kerja)
4. Dia merasakan bahawa pembahagian harta pusaka bapanya tidak adil. (Frasa adjektif)
Kesalahan umum yang kerap dilakukan dalam binaan kata nafi ialah penggunaannya pada frasa yang tidak tepat. Dengan kata-kata lain disalahgunakan pada frasa yang tidak seharusnya digunakan kata nafi berkenaan.

Kesalahan Contoh;
1. Buku ini tidak untuk pelajar tingkatan tiga. (salah)
1. Buku itu bukan untuk pelajar tingkatan tiga. (betul)
2. Orang tua itu tidak dari kampung kami. (salah)
2. Orang tua itu bukan dari kampung kami. (betul)
3. Wang yang diperolehnya tidak daripada rezeki yang halal. (salah)
3. Wang yang diperolehnya bukan daripada rezeki yang halal. (betul)
4. Dia marah kerana anaknya bukan mendengar nasihat yang diberikannya. (salah)
4. Dia marah kerana anaknya tidak mendengar nasihat yang diberikannya. (betul)
5. Tindakannya bukan wajar semasa menangani masalah itu. (salah)
5. Tindakannya tidak wajar semasa menangani masalah itu. (betul)

Unsur Kekecualian dalam Kata Nafi
Kata nafi "bukan" boleh digunakan pada frasa kerja dan frasa adjektif jika menunjukkan maksud bertentangan, namun harus digunakan bersama kata hubung "tetapi".
Ayat Contoh:
1. Dia bukan hendak belajar tetapi hendak bermain-main sahaja.
2. Mereka bukan hendak memukul kamu tetapi hendak membantu kamu.
3. Kata-katanya bukan membawa kebaikan tetapi hanya membawa keburukan.
4. Dia bukan sahaja malas tetapi nakal juga.

Sekian untuk hari ini.
Selamat bertugas kepada rakan guru.
Selamat belajar kepada murid-murid.
Selamat beristirahat.

Sumber: whatsapp

Monyet itu tidak mahu turun. Hehehe...

14 ulasan:

  1. Salam Cikgu, kalau 'Mengapa bukan hari ini? atau 'Mengapa tidak hari ini?'

    BalasPadam