Tips Umrah 3: Jimat Tapi Seronok
Ramai yang minta saya kongsikan bagaimana kos perbelanjaan dan perjalanan kami ketika menunaikan umrah hujung November baru-baru ini. Secara ringkasnya kami di Mekah dan Madinah tak pergi melawat ke tempat lain sangat selain dua masjid agung itu.
Di Madinah hanya ke Masjid Quba dan kebetulan 'terserempak' dengan ladang kurma. Di Mekah ke Gua Hira' dan Masjid Jin (ditutup sudah). Sampai Tanah Haram, memang kita akan berkira sangat nak tinggalkan solat berjemaah di sana. Mana taknya, kita dapat 1000x pahala ibadah di Masjid Nabawi dan 100,000x pahala di Masjidil Haram. Auranya sendiri sangat berbeza.
Alang-alang tu, saya kongsi terus la bagaimana kita boleh jimat sejimat-jimatnya tanpa mengikat perut macam orang tak makan sebulan. Senang cerita kos rendah tapi masih boleh enjoy every single precious moments di Tanah Haram. Haks..
Ikutkan kos umrah kami tak jimat. Sebab kos penerbangan kami mahal kerana salah beli tiket dan kami ada kehilangan lebih SAR200 di Mekah. Kalau tolak ni semua, kami hanya belanja RM4000 je ikutkan. Dengan keadaan kami jimat banyak di hotel (masih harga standard) tapi bermewah-mewahan bab makan. Kos makan dan cenderamata tu boleh jimat lagi.
Nak mudah mencongak, anggap je SAR1 (1 riyal) sana sama dengan 1 ringgit kita. Walaupun hakikatnya ringgit kita jatuh (waktu kami di sana, SAR100=RM114). Sob sob sob..
(Nak optimumkan bilangan riyal kita dapat, boleh baca post saya sebelum ni)..
Jumlah kos: RM4863.75
Kos sebelum perjalanan RM3681/pax
1) Tiket penerbangan RM3057/pax
(mahal ikutkan sebab kami tersalah tempah flight😅. Normal kos dalam RM2500 je.)
2) Lain-lain= RM624/pax
Vaksin RM150
Visa + kos travel agency RM440
Travel insurance RM69.25 untuk 2 orang
*Kain ihram RM55
Semasa di Tanah Haram SAR2075 / RM2365.50 (RM1182.75/pax)
1) Penginapan = SAR370
2) Pengangkutan=SAR310
3) Makanan: SAR329 (~SAR55 sehari)
4) Souvenir: SAR522
5) Lain-lain: SAR544
Internet 1GB SAR25
Luggage Locker Masjid Nabawi SAR14
Air zam-zam SAR32
Duit hilang, sedeqah, misc SAR473
***
Tips Jimat
1) Makan
Kat Madinah dan Mekah, sepinggan nasi mahupun semangkuk kuah tu adalah portion makan untuk dua orang Malaysia. Memang banyak. Biasa nasi beriyani (nasi da siap ayam) SAR10-12 je sepinggan. Nak sedap, tambah kuah kari ayam atau daging dalam SAR10-15 semangkuk. Kuah dhal atau sayur dalam SAR6. Bila kita beli kuah, automatik dapat paling sikit, 2 keping roti nan panas-panas. Kalau mampu habiskan semua ni seorang, memang anda ada perut rare la. Huhu..
Jadi SAR10-30 sekali makan tu da memang cukup untuk 2 orang makan. Sehari dalam SAR60 kos untuk 2 orang makan. Makan dari pagi sampai malam yang memang puas hati punya.
Makan pagi dengan kebab sekitar SAR5 je. Teh O SAR1. Mereka panggil chai. Chai dengan susu SAR2. Kopi biasa, kami cuma sempat jumpa di Madinah. Mekah ada kopi brew yang mahal tu je. Hu3.
Jadi kalau rindu air kopi atau yang lain-lain tu, atau rasa nak jimat, boleh bawa instant 3 in 1 siap-siap dari Malaysia. Dan air panas boleh beli kalau kat bilik tiada cerek. Kena cek la kalau bilik kita sewa ada atau tak, sediakan cerek. Nak jimat habis-habisan, minum air zam zam je sepanjang masa. Masuk kedai, mereka tak kesah pun kita bawa makanan atau air dari luar. Cawan plastik memang disediakan di masjid untuk air zam-zam dan air kosong.
Orang kata makan di Mekah murah sikit dari Madinah. Tapi sebenarnya lebih kurang je. Pandai cari tempat makan orang kebanyakan di sana, harga lebih kurang je. Ringkasnya, nak jimat tapi sedap, pergi makan kat tempat orang tempatan berkumpul.
Di Madinah, di sekitar Bangali Market. Lebih kurang 500m dari Masjid Nabawi Pintu 16. Makanan Pakistan kat sini memang kawww. Telan nasi beriyani yang tak berkuah tu pun da rasa zuppppp.. Perghhh.. Sedap sangat.
Di Mekah, bertentangan dengan Luggage Locker 4, ada pusat membeli-belah. Di sini letaknya Al-Baik, makanan fast food yang khabarnya sangat popular tu. Tapi pada kami biasa-biasa je. Berdekatannya, di mall yang sama, ada yang lagi mengenyangkan dan sangat sedap. Survey la. Nama musafir kan..
2) Cenderamata
Percaya atau tidak, di Mekah ada banyak kedai 2 riyal. Dalam 300m dari Masjidil Haram pintu King Fahd. Di kawasan belakang Clock Tower. Tempat lain pun ada juga tapi jauh sikit dari situ.
Memang dok ternganga je tengok bermacam-macam jenis cenderamata terjual di situ. Fridge magnet, tasbih, minyak wangi, kristal gambar Kaabah semua harga 2 riyal je. Tapi kami rasa nak mengalir air mata juga, sebab da terbeli cenderamata di Madinah siap-siap. Sebab orang dok kata Madinah lagi murah. Huhu.. Tapi takpe, ada hikmah. Sebab di Mekah kami ada cash yang terhad. Allah uji, kami hilang dalam SAR200 lebih sedangkan kami masih ada 3 hari lagi di sana. Jadi memang berjimat bab membeli belah sebelum kami sedar kad ATM boleh guna di sini. Itu pun da nak naik flight balik.
Di kedai 2 riyal ni pun, ada segala macam barang keperluan harian. Paling best takde GST 12 sen. Hahaha..
Jadi, boleh gi tengok dulu kedai 2 riyal ni kalau nak beli cenderamata untuk bawa pulang. Apa kelas, 2 riyal je? Hello, kat kedai lain yang mahal sikit tu pun, benda 100% sama je. Jadi kenapa bayar lebih? Hehe.. Duit hasil berjimat membeli belah tu boleh guna untuk sedeqah pada asnaf dan tukang cuci di masjid-masjid ni.
Untuk kurma ajwa, harga 2 kali ganda lebih murah di Madinah. Di Madinah boleh dapat SAR30 je di Pasar Masjid Quba dan SAR35-40 di pasar dan kedai kurma sekitar Masjid Nabawi. Harga boleh tawar-menawar.
Kurma bersalut coklat yang dalamnya ada badam boleh dapat paling murah di Bin Dawood. SAR50 untuk sekilo. Bin Dawood ni ada di depan Masjid Nabawi dan Masjidil Haram. Tapi paling meriah Bin Dawood di Madinah.
Di dua Tanah Haram ni, biasanya orang akan terbeli jubah-jubah di sini tanpa sengaja. Baik lelaki mahupun perempuan. Sama je. Huhu..
Di Bin Dawood Madinah boleh dapat jubah wanita 6 helai SAR100. Jubah lelaki setakat jubah yang putih tu SAR10 je di sekitar Masjidil Haram. Akan ada wanita-wanita Afrika yang menghamparkan kain dan jual pelbagai barang termasuk jubah ini di kaki lima dengan harga terlajak murah selepas waktu solat berjemaah.
Itu kot orang kata, nak shopping murah di Madinah. Sebenarnya dua-dua murah. Cuma kena tahu tempat je.
Untuk jerung emas dan seangkatan dengan mami jarum, di depan Masjid Nabawi berderet kedai barang kemas. Dan selalu penuh dengan orang. Design yang memang stail Arab. Kalau anda memang jenis iman senipis kulit bawang bila tengok logam kuning ni, boleh la jenguk.
Kalau nak trade in barang kemas tak berapa nak sayang pun boleh. Tapi kena tanya dulu 18 karat (emas 750) atau 21 karat (emas 916). Yang penting survey dulu. Jangan tergesa-gesa beli walaupun yang tukang jual tu dok mendesak.
3) Pakaian
Bawa baju beberapa helai je datang sini. 4 pun da lebih dari cukup. Kebanyakannya jubah. Tak wajib hitam pun. Sebab sampai sini, macam-macam warna ada.
Kemeja t atau t-shirt tak guna sangat pun di sini. Sampai Tanah Haram, yang lelaki pun tak bernafsu nak pakai kemeja atau t-shirt, sebab mereka di sini memang berjubah je.
Sweater memang perlu pun untuk berhibernasi dalam flight 9 jam. Dan juga nak menapak ke masjid di tengah-tengah pagi. Madinah suhu lebih sejuk dari Mekah. Boleh baca posting saya sebelum ni.
Baju boleh basuh di sini. Basuh pagi, sidai dalam toilet je pun, sampai petang da kering. Tak perlu mesin basuh pun. Udara sini sangat kering.
4) Air Zam-zam
Kenapa dicadangkan bawa baju sikit je? Supaya boleh penuhkan bagasi dengan cenderamata dan buah tangan dari sini. Dan kalau dapat, boleh bawa balik air zam-zam lebih. Ini paling penting saya rasa.
Ikutkan seorang dibenarkan bawa balik satu kotak air zam-zam je. 5 liter pada harga SAR8. Ada dijual di luar balai pelepasan antarabangsa lapangan terbang Jeddah. Tapi mereka tak cek pasport kita pun. Jadi boleh beli bergilir. Yang penting, bilangan kotak yang berada di luar bagasi mengikut bilangan orang check in flight. Sebab memang airline kita akan check-inkan sekali air zam-zam tu tapi berat tak dikira dengan bagasi.
Jadi, kalau bagasi untuk kita check in masih banyak kosong dan belum capai had berat, boleh letakkan air zam-zam. Boleh timbang percuma di airport. Tak mahu beli, boleh ambil air zam-zam dari Masjidil Haram. Percuma. Boleh beli bekas air tahan lasak sikit di sekitar Masjidil Haram. Tapi 'penyeludupan' ni untuk kegunaan sendiri ya. Tak baik tau ekspoitasi air penuh barakah ni untuk tujuan komersil.
4) Penginapan
Jika agensi anda membenarkan anda tempah penginapan sendiri, anda boleh jimat banyak sebenarnya. Hotel bajet di sekitar Masjidil Haram dan Masjid Nabawi sangat banyak. Bilik kosong pun banyak juga sebab mereka memang da bersedia dengan bilangan pengunjung Tanah Haram yang berpuluh ribu. Dan kebanyakannya tidak ada dalam online website seperti Booking.com dan Trivago.
Jadi, boleh sahaja kita tempah dahulu hotel di online website terlebih dahulu untuk urusan visa. Yang penting, tempah yang ada free cancellation. Maksudnya tempahan boleh dibatalkan pada bila-bila masa sehingga minit terakhir sebelum waktu check in.
Kenapa free cancellation ini penting, sebab bila da sampai sana baru kita sedar betapa lokasi hotel sangat-sangat penting. Amat perlu dapat hotel yang dekat dengan pintu masuk utama masjid, tempat tumpuan orang kebanyakan (ada restoran dan kedai-kedai) dan yang penting tanahnya landai. Di Mekah, di bahagian selatan Masjidil Haram kawasannya berbukit dan bukan pintu masuk utama. Kasihan kami tengok ada pakcik makcik yang terpaksa mendaki dan berjalan jauh ke pintu utama setiap hari untuk beribadah. Memang dapat hotel berbintang-bintang tapi perjalanannya?
Jadi boleh lihat dulu suasana di sini dan tempah semula hotel mana yang sesuai ya. Dua-dua hotel di Tanah Haram yang kami tempah di online kami batalkan tempahan. Kedua-duanya agak jauh. 2km dari masjid. Ikutkan kami biasa je berjalan jauh. Tapi di Tanah Haram ini, percayalah 700m jarak hotel dengan masjid adalah maksimum. Sebab ibadah di sini sendiri makan tenaga. Nak masuk ke pintu bangunan masjid sendiri dari pintu masuk perkarangannya da 100m paling sikit. Itu belum kira sesat nak cari pintu keluar lagi. The struggle is real..
Jadi kami cari sendiri hotel di sekitar masjid. Dapat hotel bajet SAR120 di Madinah untuk 2 malam dan SAR250 di Mekah untuk 3 malam. Bajet-bajet pun, toilet sangat bersih. Peti ais dan penghawa dingin tersedia. Kedua-duanya terletak di kawasan tumpuan penduduk. Jadi makan minum dan beli belah kami amat mudah dan murah. Nak ke masjid pun 10-15 minit jalan da sampai. Pokoknya bukan berapa bintang. Tapi lokasi hotel itu lebih penting.
5) Keperluan Umrah
Suami dapat beli kain ihram yang tebal dengan harga RM55 di Malaysia. Di Madinah ni ada je dijual harga lebih kurang. Jadi kalau tak dan nak beli di Malaysia, boleh beli di Madinah je. Masjid Bir Ali tempat miqat pun ada jual.
Orang cadangkan beli kasut tapak yang lembut untuk tawaf. Pada saya, tak perlu pun tak pe. Pakai waktu tawaf dan saie tu je. Lepas tu da tak pakai. Membazir. Kalau nak sangat, boleh beli di Madinah. SAR10 boleh dapat. Itu yang sangat best kalau kita ke Madinah dulu, baru ke Mekah. Tapi ni terpulang pada individu. Untuk orang yang macam saya, esok flight, esok juga la baru dapat cuti, memang ke Madinah dulu adalah pilihan terbaik. Tambahan pula, kondisi dan servis di lapangan terbang Jeddah tidak seefisien lapangan terbang Madinah.
6) Pengangkutan
Kalau kita ada keperluan nak ambil teksi, boleh survey dulu harga Uber yang jauh lebih murah dari teksi. Kami sayangnya tak dapat tempah Uber. Ada masalah dengan apps sebab tak pernah guna sebelum ni di Malaysia.
Teksi di sini memang letak harga yang mahal. Biasanya double dari harga biasa. Tak pandai tawar menawar, memang duit melayang banyak la.
Pengalaman pertama kami naik teksi sewaktu hendak ke Jabal Nur (Gua Hira'). Sebelum tu kami banyak naik bas je. Tahan teksi di depan hotel lebih kurang pukul 3 pagi. Ingatkan "thirteen riyal", rupanya "thirty riyal". Kami tak sempat nak tawar menawar, ie minta kurang lagi, sebelum masuk teksi tu. Silap di situ. Orang sini memang English ke laut. Jadi kena deal betul-betul dengan mereka. Jangan masuk teksi sebelum dapat harga yang puas hati.
Perkhidmatan bas jauh lebih murah. Tapi kebanyakan tempat lawatan orang seperti Jabal Nur, ladang unta etc tiada bas.
Ni harga tiket bas kami survey:
- Bas SAPTCO dari lapangan terbang Madinah ke Masjid Nabawi SAR10
- Bas SAPTCO dari Madinah ke Masjidil Haram SAR65.
- Bas SAPTCO dari Masjidil Haram ke Airport Jeddah SAR30 (tapi kena ambil shuttle bus SAR20+ pula lepas tu untuk ke balai pelepasan antarabangsa yang 20km dari situ. Dan shuttle bus ni hanya beroperasi sehingga 12 tengah malam. Alternatif, ambil teksi ke terminal ni tapi harga SAR50 lah).
- Bas dari Masjidil Haram ke Tanaim (untuk miqat umrah dari Mekah) dalam SAR4, tunggu bas di depan masjid.
7) Sedeqah
Yang paling penting, jimat-jimat juga. Ambil peluang sebanyak mungkin untuk bersedeqah. Kita bagi sikit, Allah balas banyak. Di depan Masjidil Haram, ada banyak kedai makan yang sediakan makanan untuk faqir miskin dengan sedeqah yang kita beri. SAR100 tu boleh pilih untuk beri kepada berapa orang asnaf. Kalau sesiapa nak bayar kafarah ke memang mudah la di sini.
****
Apa pun, sentiasa tanamkan dari awal, umrah itu mudah. Kita fikir mudah, Allah bagi mudah la.. Kita nak pergi beribadah di rumah Allah, kita nak ziarah rumah kekasihNya. Pasti Allah akan mudahkan. Letakkan nawaitu dari awal, hendak ke sini. Allah akan lorongkan jalan untuk hambaNya yang meminta dan berusaha.
Alhamdulillah walaupun umrah kami banyak yang buat sendiri, khidmat dan support dari travel agency kami amat terbabow. Touched down sahaja di Arab Saudi, imigresen tak tanya pun mutawif kami mana, kami ikut agensi mana. Dan kami sangat puas hati sebab kami dapat laksanakan umrah ikut cara yang kami nak.
Paling penting, moga Allah terima ibadah kami dan kita semua. Dan moga Allah beri kesempatan untuk kita semua untuk jejakkan kaki ke sini. Amiin..
Dipersilakan untuk share supaya lebih ramai beroleh manfaat.
Tips Umrah 1: Suhu Sejuk
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=10215304277030256&set=a.2022911062480.123138.1535085079&type=3&theater
Tips Umrah 2: Tukar Duit
https://www.kofkino.com/chronicle/cara-mudah-menukar-matawang-asing-ketika-mengerjakan-umrah/